Sunday, July 13, 2014

Peranan dan Fungsi Masjid Melalui Majlsi Ilmu

TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID

TARIKH BACAAN : 16 SYAWAL 1421H / 12 JANUARI 2001M
TAJUK : PENGIMARAHAN MASJID MELALUI MAJLIS ILMU

Sidang jumaat yang berbahagia,

Apabila kita menyingkap sejarah perkembangan kegemilangan umat Islam khususnya di zaman baginda Rasulullah s.a.w. , masjid merupakan pusat ibadat, muamalat, penyebaran Islam, pemerintahan dan pentadbiran. Masjid juga menjadi pusat pembentukan keperibadian insan serta kegiatan yang dapat memberikan faedah serta mendatangkan manfaat kepada Islam dan penganutnya.

Masjid merupakan lambang syiar Islam dan kedaulatan, ia merupakan pusat yang menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan manusia bersama penciptanya. Rasulullah s.a.w. mengambil langkah yang berkesan bagi meluaskan fungsi dan peranan masjid bagi mewujudkan perpaduan yang kukuh dikalangan umat Islam di Madinah dengan meletakkan dasar ketakwaan di dalam kehidupan mereka.

Firman Allah subhanahua ta’ala dalam surah At-Taubah ayat 108 yang bermaksud : ‘ Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa ( Masjid Kuba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang yang ingin membersihkan diri dan Allah menyukai orang-orang yang bersih’ .

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Sekiranya kita memperhatikan dan melihat bahawa fungsi dan peranan masjid hari ini tidak lebih daripada tempat ibadat semata-mata. Fungsi dan peranannya disempitkan dan dikecilkan seolah-olah masjid tidak mampu menggerakkan aktiviti kemasyarakatan di kariah masing-masing. Di dalam keadaan begini masyarakat mestilah disenaraikan dengan memberikan bimbingan terhadap ilmu supaya dengan ilmu yang mereka ada umat Islam dapat dimartabatkan dan Islam dapat diletakkan dimercunya.

Sidang jumaat yang dimuliakan,

Islam telah menggariskan konsep dan sifat-sifat bagi mereka yang dapat mengimarahkan masjid berdasarkan firman Allah dalam surah At- Taubah ayat 18 :

Yang bermaksud : ‘ Bahawa orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang-orang yang beriman dan hari akhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut ( kepada sesiapa ) selain dari Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Bertolak dari ayat di atas memakmurkan masjid merupakan perkara penting di dalam masyarakat bagi melahirkan kelompok manusia yang bersifat takwa bagi memenuhi tuntutan ayat tersebut.

Sidang jumaat yang berbahagia,

Bagi mengembalikan fungsi dan peranan masjid kita memerlukan kepada kesepakatan dan semangat untuk benar-benar mendukung kemakmuran masjid. Di antara perkara-perkara yang perlu dilakukan ialah satu usaha untuk memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada masyarakat. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan majlis-majlis ilmu untuk memberikan kesedaran dan kefahaman bagi mengembalikan kekuatan umat bahawa betapa pentingnya ilmu buat mereka. Firman Allah subhanahua ta’ala dalam surah Az-Zumar

ayat 9.

Maksudnya : ‘ …Adakah sama orang yang mempunyai ilmu dan orang yang tidak mempunyai ilmu…’

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi mencapai tujuan dan hasrat di atas adalah dicadangkan beberapa program yang dirancangkan untuk dilaksanakan seperti program tahunan, bulanan, harian dan berbagai program tahunan yang dicadangkan adalah merupakan program yang biasa dilaksanakan di masjid-masjid kariah seperti Maal-Hijrah, Maulidur Rasul s.a.w., Majlis Khatam Al-Quran dan program membudayakan Al-Quran, Majlis Isra’ dan Mikraj, program korban dan berbagai program lagi yang boleh

disumbang dan disusun atur oleh jawatankuasa masjid. Manakala program bulanan, pengisiannya boleh dibuat dengan mengadakan Qiamullail, majlis

membaca kitab berzanji, ceramah bulanan dimana jawatankuasa masjid boleh menjemput wakil jabatan-jabatan kerajaan seperti badan pencegah rasuah, jabatan kerja raya, pejabat tanah, pejabat pendaftaran dan lain untuk menerangkan tugas dan peranan pejabat masing-masing kepada masyarakat.

Manakala program mingguan boleh disusun seperti mengadakan majlis bacaan Yassin dan tafsirannya, kelas pengajian Al-Quran dan kelas takmir masjid. Program membudayakan Al-Quran, kelas-kelas bimbingan pelajar-pelajar sekolah dan kelas untuk golongan wanita. Manakala program harian yang paling penting dapat dilakukan solat waktu secara berjemaah dan dapat diadakan program membudayakan Al-Quran setiap selepas solat waktu. Manakala program berkala boleh disusun atur seperti mengadakan ceramah agama, forum, kursus haji, pengurusan jenazah, pengurusan dan pentadbiran masjid dan bermacam-macam program yang telah diatur oleh jawatankuasa masjid.

Kesemuanya ini untuk memenuhi tuntutan hadis nabi s.a.w. yang bermaksud : ‘Barangsiapa yang menghendaki dunia hendaklah ia mempunyai ilmu dan barangsiapa yang menghendaki akhirat, hendaklah ia mempunyai ilmu dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya (dunia dan akhirat) maka hendaklah ia mempunyai ilmu’.

Sidang jumaat yang dikasihi,

Sekiranya kita berjaya mengembalikan peranan dan fungsi masjid secara berkesan, cekap dan berkualiti (berkualiti) pastinya masyarakat Islam dapat melihat dan mengecapi suasana kehidupan yang harmoni. Manakala perpaduan masyarakat dan pengembangan dakwah Islam secara menyeluruh bagi memperkasa dan memartabatkan umat berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dapat dijayakan. Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud : ‘ Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.

Sumber:  bicaramuslim.com

No comments:

Post a Comment