01. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ass radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ‘ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ‘ilmu itu dengan mematikan ‘alim ‘ulama’, maka apabila sudah ditiadakan ‘alim ‘ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ‘ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith riwayat Imam Muslim)
02. Kini tok-tok guru makin berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Peribahasa Melayu menyebut “patah tumbuh, hilang berganti”. +Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari tok-tok guru. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya tok-tok guru yang memberikan makna dan erti kepada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus tok-tok guru, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.
03. Kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah saw tadi. Di mana bilangan orang alim hanya tinggal sedikit dan usaha untuk menghasilkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Masjid, surau, pondok dan sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai dan orang kaya. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah keadaan masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.
04. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia serta nikmat-nikmatNya yang terlalu banyak dan tidak terhingga. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipayungi rahmat dan kasih sayang Allah sehingga ke hari perhitungan di padang mahsyar kelak. Hari yang tidak ada manfaat padanya oleh harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang berhati sejahtera, yang mengharapkan hanya kepada rahmat Allah yang Maha Esa lagi Maha Kaya.
05. Berselawatlah ke atas Rasullullah S.A.W kerana sesungguhnya malaikat dan juga Allah S.W.T juga berselawat ke atas Rasullullah S.A.W.
Rujukan:
1. halaqah.net (Cara Allah Hilangkan Ilmu Pengetahuan)
2. izuman18.blogspot.com (koleksi ceramah agama)
3. ibnrajab.wordpress.com (kuliah-maghrib)
4. masjidarrayyanmiri.blogspot.com (kuliah-anak-derhaka-pakaian-putih)
No comments:
Post a Comment